======================================================================
“Kamu jangan hantar anak kamu belajar di sekolah Inggeris. Nanti jadi orang putih. Tidak sembahyang”.Dalam tahun 60an ini adalah ayat biasa yang didengari apabila ada keluarga yang ingin menghantar anak ke sekolah Inggeris.
Bagaimana pula dengan kata-kata begini.
“Kamu jangan hantar anak ke sekolah cina, nanti dia makan babi. Tak tahu sembahyang”.Pasti ramai yang tidak percaya pada zaman sekarang masih ada orang yang berkata begitu. Namun, itulah realiti yang saya dan isteri perlu hadapi di saat ingin menghantar anak ke sekolah cina. Ada yang bertanya kenapa saya menghantar anak-anak saya ke sekolah cina. Tidak kurang juga mencemuh saya dengan kata-kata yang kurang manis. Jiran-jiran dan adik beradik termasuk ibu bapa memandang sinis terhadap saya dan keluarga.
Semuanya saya abaikan demi pelajaran anak saya. Bagi saya hanya saya yang harus menentukan masa depan anak-anak saya. Saya nekad akan memastikan bahawa pada satu hari nanti anak-anak saya akan menjadi tempat rujukan kepada anak-anak jiran. Akhirnya memang anak-anak jiran datang ke rumah untuk tuisyen dengan anak-anak saya. Paling membanggakan saya apabila jiran-jiran Cina juga menghantar anak-anak mereka belajar.
Berhasrat Untuk Menguasai Bahasa Mandarin
Pada peringkat awal saya menghantar anak sulung dan anak kedua ke sekolah cina hanya sekadar membolehkan anak saya bertutur dalam bahasa Mandarin. Saya tidak kisah anak saya bersekolah di mana ketika di sekolah menengah. Saya memahami pelajar Melayu yang mendapat keputusan cemerlang peperiksaan UPSR tidak dapat menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Matlamat saya hanyalah cukup anak-anak saya mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.
Ketika anak kedua selepas UPSR saya telah membuat keputusan yang drastik di mana menghantar anak kedua ke sekolah agama. Setelah setahun anak kedua bersekolah di sekolah agama, saya dapati anak saya mampu menguasai pelajaran diajarkan oleh guru. Beliau mampu menguasai bahasa Arab. Ketika itu, baru saya sedar bahawa anak saya mampu menghadapi sebarang perubahan dan cabaran. Ini adalah kerana pelajar-pelajar di sekolah cina diajar dan dididik dengan penuh kesusahan.
Setiap hari guru akan memberikan kerja sekolah yang banyak. Begitu juga ketika cuti sekolah, belajar perlu menghabiskan buku kerja yang diberikan. Jika mereka gagal, mereka akan diberi hukuman seperti rotan atau berdiri atas kerusi. Cabaran dan latihan yang berterusan berjaya membentuk peribadi anak saya. Di sebalik keputusan sayang menghantar anak ke sekolah agama, ada yang mengatakan saya gila. Malah tidak kurang juga mengandaikan anak saya tidak akan mampu meneruskan pembelajaran. Saya hanya abaikan apa jua tanggapan orang terhadap saya dan keluarga. Saya masih lagi dengan matlamat awal saya, cukuplah jika anak saya tahu bertutur Bahasa Mandarin.
Namun, ia telah memberi kesan kepada saya. Apabila anak ketiga akan menduduki peperiksaan UPSR, saya mula mencari peluang-peluang untuk pelajar-pelajar Melayu di sekolah cina untuk menyambung pelajaran ke sekolah menengah. Walaupun tidak boleh belajar di sekolah berasrama penuh, saya percaya pasti ada peluang lain bagi mereka. Akhirnya saya dapati pelajar-pelajar Melayu boleh memohon memasuki MRSM jika mencukupi syarat pengambilan. Walaupun anak ketiga memperoleh 5A keputusan UPSR, namun beliau tidak berjaya memasuki MRSM. Saya merasa syukur sekurang-kurangnya saya menjumpai satu peluang untuk anak-anak saya.
Melanjutkan Pelajaran Ke Sekolah Agama
Sebelum anak keempat saya menduduki UPSR, saya mula merancang dan memerhati perkembangan pelajarannya. Saya berharap agar anak saya mendapat keputusan yang cemerlang dan belajar di MRSM. Namun, selepas keputusan UPSR diumumkan, anak saya ingin bersekolah di sekolah agama. Saya terkejut kerana beliau tidak bersekolah di sekolah agama petang dan tidak menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK). Oleh kerana anak saya ingin bersekolah di sekolah agama, saya memohon untuk memasuki ke sekolah agama. Alhamdulillah, beliau berjaya temuduga dan dapat memasuki sekolah agama.
Saya mula sedar bahawa banyak peluang untuk anak-anak saya selepas bersekolah di sekolah cina. Saya berbincang dengan guru agama di sekolah anak saya bagaimana untuk membolehkan anak-anak saya termasuk pelajar-pelajar lain ingin bersekolah agama. Oleh kerana sejak dari Tahun 5, beliau ingin bersekolah di sekolah agama memudahkan saya membuat perancangan. Saya pastikan anak kelima mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan UPKK.
Anak kelima saya mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR dan memohon untuk memasuki MRSM Ulul Albab dan sekolah agama berasmara penuh. Walaupun gagal di dalam temuduga MRSM, beliau berjaya memasuki Mahaad Ahmadi, Gemencheh. Dalam masa yang sama, rakan anak saya juga berjaya memasuki sekolah agama berasrama penuh di Seremban.Kini, anak keenam saya baru sahaja selesai menduduki UPSR. Beliau ingin meneruskan pelajaran di pusat tahfiz. Insya Allah, beliau akan mendaftar masuk ke pusat tahfiz awal tahun 2015
Semuanya Berjaya & Cemerlang
Alhamdulillah, semuanya berlaku dengan rahmat Allah. Saya tidak pernah memaksa atau menentukan apakah arah tuju anak-anak saya.
Setelah 19 tahun, anak-anak saya bersekolah di sekolah cina dengan pelbagai kutukan, kejian dan cabaran, akhirnya semuanya berjaya melalui setiap cabaran dengan cemerlang. Saya dan isteri berasa puas kerana apa yang kami lakukan membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil. Semuanya boleh berlaku dengan rahmat Allah.
Anak sulung melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia, anak kedua belajar Tingkatan 6 Atas di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, anak ketiga sedang menduduki SPM, anak keempat merupakan salah seorang pelajar terbaik di Sekolah Agama Rembau dan sekarang di MRSM, anak kelima belajar di Mahaad Ahmadi dan anak keenam pula di pusat tahfiz.
Alhamdulillah, kini anak saya boleh bertutur dalam empat bahasa.
Saya bermula dengan hanya inginkan anak-anak saya mampu bertutur dalam bahasa Mandarin. Kini, anak-anak saya mampu bertutur dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Arab. Cara pemikiran anak-anak saya juga berbeza. Gabungan pendidikan sekolah cina dan sekolah agama menjadikan mereka lebih kreatif dan berani dalam apa jua yang ingin dilakukan. Ini ditambah dengan sifat berdikari yang diajar sejak sekolah rendah tanpa mengharapkan bantuan orang lain.
Saya telah membuktikan bahawa banyak peluang bagi pelajar-pelajar Melayu di sekolah cina. Apa yang penting ialah matlamat dan fokus ibu bapa harus jelas jika ingin menghantar anak ke sekolah cina agar ia tidak merugikan masa, wang dan pelajaran anak-anak.